This is an alert message.

Mace

THE MACE





COKMAR UNIVERSITI

Cokmar, yang dahulunya merupakan senjata, kini menjadi lambang kebesaran dan kuasa. Pada 19 Mac 1952, Majlis Raja-Raja menghadiahkan cokmar kepada Majlis Perundangan, lalu menjadi amalan bagi negeri-negeri dan institusi pengajian tinggi menggunakan cokmar sebagai lambang kuasa penganugerahan ijazah.

Menyedari kepentingannya, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menghasilkan cokmar rasmi pada 18 Disember 1998, diperbuat daripada Perak Sterling (22G, 105sm panjang). Cokmar ini merupakan limpah kurnia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena pelantikan Canselor Pertama UPSI, Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun, pada 4 Disember 1999.

Cokmar ini digunakan dalam majlis rasmi universiti seperti Istiadat Konvokesyen, dan melambangkan kuasa Canselor sebagai Ketua Universiti. Ia terbahagi kepada tiga bahagian:

  • • Kepala Kesarjanaan Doktor Falsafah(Ijazah Ketiga)
  • • Badan Kesarjanaan (Ijazah Kedua)
  • • Kaki Strata Kesarjanaan (Ijazah Pertama)



Pada badan cokmar terukir jata negara, motif Bunga Raya, dan lambang UPSI, menunjukkan ia institusi milik kerajaan Persekutuan. Di kaki cokmar pula terdapat ikon mata pena, melambangkan pemikiran intelektual dan budaya penyelidikan. Bahagian bawah dihiasi ukiran awan larat motif Keladi Biak, melambangkan hasrat UPSI untuk terus berkembang maju sambil mengekalkan nilai tradisi dan kepercayaan kepada Yang Maha Esa.

Motif Keladi Biak, yang sinonim dengan seni hias Minangkabau, dipilih kerana menggambarkan keupayaan dan sifat versatil Anak Kandung Suluh Budiman dalam menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya dan perubahan zaman.

Pada 30 November 2021, UPSI menerima cokmar baharu yang mengekalkan motif asal, tetapi ditambah dengan ciri baharu seperti ukiran bersadurkan emas 24K, melambangkan keagungan sebuah institusi pendidikan yang diterajui oleh Canselor.